Dunia diciptakan untuk manusia, manusia diciptakan untuk akhirat. Manusia sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak akan pernah tua untuk bertaubat.

Isnin, 21 Mei 2012

Deritanya Kesan Fitnah - 'Hadis Al-Ifki'

Ustaz menjadi tersekat-sekat dalam penyampaian kuliahnya pagi Sabtu lepas. Sebak. Dia tidak dapat menahan rasa pilunya dengan peristiwa yang amat menyedihkan itu; khasnya sewaktu melakarkan sifat, karekter dan kehebatan peribadi Rasullah S.A.W., isterinya dan para sahabat ketika berhadapan dengan ujian Allah yang sangat berat.

Isunya adalah Hadis al-Ifki - kisah fitnah yang berlaku di zaman Rasullah S.A.W. ke atas isterinya Sayyidatina Aisyah. Imam al-Bukhary meriwayatkan hadis dalam Kitab Sohihnya dengan satu periwatan hadis yang agak panjang. Rujuk pautan dibawah untuk maklumat penuh.

Cari Lima Yang Terbaik Untuk Ganti Lima Keburukan

Janganlah engkau  berguru dan menuntut ilmu melainkan engkau akan dapat membuang 5 perkara untuk digantikan dengan 5 perkara yang lain:

1.  Dapat mengubah kamu dari sifat syak/ragu kepada yakin.
2.  Dapat membuang sifat ria' dan digantikan dengan ikhlas.
3.  Dapat menghindarkan gemarkan dunia kepada sifat zuhud(ambil duia sekadar perlu).
4.  Dapat membuang sifat takabur dan dihiasi dengan sifat tawaduk/merendah diri.
5.  Dapat mengelakkan permusuhan dan berminat kepada nasihat-nasihat agama.
                             
(petikan Kuliah Ustaz Khairul Anuar Shafie : 21/5/2012)

Ya Allah, berilah kepadaku RM50K, Amin!!

"Ya Allah, berilah padaku wang sebanyak RM50,000".
Doa seorang hamba. 

Tentulah bermacam pandangan dan komentar boleh kita berikan. Namun yang pasti disisi Allah ianya bersifat harus bagiNya memakbulkan doa sihamba. Tiada yang mustahil. FirmanNya," Berdoalah kepadaKu nescaya aku perkenankan!"

Dari satu perspektif jumlah yang dipohon adalah kecil sekali berbanding dengan nikmat yang Allah kurniakan. Satu biji mata sahaja bukan nilaian RM50K! Kos rawatan kepada masalah jantung boleh menjangkau satu angka yang sangat besar. Cuba bayangkan oksigen percuma yang kita sedut setiap detik itu, jika dicaj oleh Allah S.W.T: mampukah dibayar?

Sebab itulah doa harus dihiasi dengan adab dan teknik yang betul. Tidaklah wajar bagi seorang hamba begitu "gelojoh" dengan permohonan sehingga menjatuhkan sifat kehambaannya atau mempamirkan sifat tidak tahu bersabar dan bersyukur disisi Tuhan Rabbul Jalil. Meminta dengan cara beradab dengan merendahkan diri dan merasa malu dengan Allah tentulah membuka jalan kepada sifat Rahim Allah untuk mendengar doa kita, InsyaAllah!

Lihat bagaimana contoh adab Nabi Allah Ayub a.s. berdoa setelah diuji Allah dengan ujian penyakit kulit yang sangat berat. Ia berdoa: " Sesungguhnya aku ditimpa kemudaratan, Engkaulah (Ya Allah) Sebaik-baik (Tuhan) Yang Mengasihani"

Begitu juga Nabi Zakaria a.s. berdoa ketika memohon zuriat dalam usia yang telah tua " Tuhanku janganlah Engkau biarkan aku bersendirian, Engkaulah Sebaik-baik Tuhan yang Memberi Pewaris".