Dunia diciptakan untuk manusia, manusia diciptakan untuk akhirat. Manusia sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak akan pernah tua untuk bertaubat.

Ahad, 6 Mei 2012

Imam Abu Hanifah

Semalam berkesempatan berada di dalam kuliah Maghrib Ustaz Sharmizan. Ketika mengupas kisah Imam Abu Yusuf murid kepada Imam Abu Hanifah melalui huraian Kitab Bustanul Arifin karangan Imam an-Nawawi, beliau turut menyentuh sedikit biografi Imam Abu Hanifah.

Imam Abu Hanifah (Imam mazhab Hanafi)  dilahirkan di Kufah, Iraq pada tahun 80 Hijrah. Beliau adalah golongan tabi'in yang sempat berguru dengan beberapa sahabat Rasulullah S.A.W. antaranya Sayyidina Anas bin Malik, Sahl bin Sa'ad dan Abu Thufail. Nama sebenar beliau ialah Abu Hanifah Nu'man bin Thabit (AH).

Sejak dari kecil beliau seorang yang genius. Mempunyai kefahaman yang sangat luas dan mendalam dalam bidang fiqh, hadis dan tafsir. Beliau merupakan ahli perniagaan yang berjaya - sehingga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada masyarakat setempat.

Imam AH seorang yang sangat pemurah dan suka menyumbang. Beliau sentiasa menjaga penampilan diri dengan berpakaian kemas dan rapi setiap masa justru mensyukuri nikmat Ilahi yang dianugerahkan kepadanya. Seorang yang amat sukakan wangi-wangian sehingga orang ramai mampu mengenalinya di mana juga dengan ciri-ciri kemas dan wangian yang sinonim dengan dirinya. Beliau menyebarkan ilmunya dengan penuh amanah dan tekun. Terdapat ramai anak-anak muridnya yang sangat hebat dan menonjol seperti Imam Abu Yusuf dan lain-lain.

Ketegasan Imam AH dalam menolak jawatan Qadhi amat jelas. Beliau ternyata tidak langsung berkompromi dalam urusan yang berkaitan dengan permintaan khalifah untuk melantik dirinya sebagai Qadhi. Beliau sangggup disiksa dan dipenjara kerana ketegasan prinsipnya.  

Imam AH merupakan seorang yang amat kuat beribadat. Sepanjang tahanan dipenjara beliau diberitakan telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 70 ribu kali di dalam solatnya!!

Ada ulama yang bermimpi bertemu dengan Imam AH selepas kematiannya yang disediakan Ilahi dengan istana dan singgahsana yang sangat indah dan hebat disyurga. Apabila ditanya adalah beliau masuk kesyurga kerana ilmunya. Beliau lantas menjawab,"tidak sama sekali, tetapi yang menjadikan aku mendapat anugerah ini ialah berkat kesabaranku dan reda Ilahi ke atas segala penghinaan, fitnah dan kezaliman yang dilakukan keatas diriku".
                                                                         ***************

Sumber tambahan yang sempat dirujuk melalui buku berjudul KHILAF - perselisihan pandangan dalam agama (Abdul Mu'izz:2012:mustread) mengisahkan detik-detik kematiannya...

Imam AH wafat pada tahun 150 Hijrah. Satu hari Imam dilantik sebagai Qadhi oleh pemerintah Abu Ja'afar al-Mansur. Beliau menolak di atas dasar takut terlibat sama dengan kezaliman yang tidak diredainya.Walaupun disebat 10 kali sebatan setiap hari, pendiriannya tidak goyah.

Akhirnya beliau membuat satu helah yang membuatkan Abu Jaafar tidak mampu memaksanya lagi. Apabila ditanya mengapa menolak jawatan tersebut, Imam AH menjawab: "Aku tidak layak untuk menjadi qadhi". Lantas Abu Jaaafar membalas, " Engkau berbohong!". Lalu Imam AH menjawab, " Engkau sendiri telah mendakwa aku berbohong. Bagaimana engkau ingin melantik seorang pembohong yang sememangnya tidk layak untuk dijadikan qadhi?"

Khalifah terkedu dan mati akal lantas meracuni Imam AH melalui minumannya. Syahidnya Imam AH di dalam keadaan sujud. Dari kisah ini, kita dapati bahawa Imam AH sangat peka serta bijak membaca strategi politik yang ingin mempergunakan pengaruhnya demi kelangsungan kuasa kezalimaan pemerintahan ketika itu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan