Dunia diciptakan untuk manusia, manusia diciptakan untuk akhirat. Manusia sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak akan pernah tua untuk bertaubat.

Isnin, 21 Mei 2012

Deritanya Kesan Fitnah - 'Hadis Al-Ifki'

Ustaz menjadi tersekat-sekat dalam penyampaian kuliahnya pagi Sabtu lepas. Sebak. Dia tidak dapat menahan rasa pilunya dengan peristiwa yang amat menyedihkan itu; khasnya sewaktu melakarkan sifat, karekter dan kehebatan peribadi Rasullah S.A.W., isterinya dan para sahabat ketika berhadapan dengan ujian Allah yang sangat berat.

Isunya adalah Hadis al-Ifki - kisah fitnah yang berlaku di zaman Rasullah S.A.W. ke atas isterinya Sayyidatina Aisyah. Imam al-Bukhary meriwayatkan hadis dalam Kitab Sohihnya dengan satu periwatan hadis yang agak panjang. Rujuk pautan dibawah untuk maklumat penuh.

Cari Lima Yang Terbaik Untuk Ganti Lima Keburukan

Janganlah engkau  berguru dan menuntut ilmu melainkan engkau akan dapat membuang 5 perkara untuk digantikan dengan 5 perkara yang lain:

1.  Dapat mengubah kamu dari sifat syak/ragu kepada yakin.
2.  Dapat membuang sifat ria' dan digantikan dengan ikhlas.
3.  Dapat menghindarkan gemarkan dunia kepada sifat zuhud(ambil duia sekadar perlu).
4.  Dapat membuang sifat takabur dan dihiasi dengan sifat tawaduk/merendah diri.
5.  Dapat mengelakkan permusuhan dan berminat kepada nasihat-nasihat agama.
                             
(petikan Kuliah Ustaz Khairul Anuar Shafie : 21/5/2012)

Ya Allah, berilah kepadaku RM50K, Amin!!

"Ya Allah, berilah padaku wang sebanyak RM50,000".
Doa seorang hamba. 

Tentulah bermacam pandangan dan komentar boleh kita berikan. Namun yang pasti disisi Allah ianya bersifat harus bagiNya memakbulkan doa sihamba. Tiada yang mustahil. FirmanNya," Berdoalah kepadaKu nescaya aku perkenankan!"

Dari satu perspektif jumlah yang dipohon adalah kecil sekali berbanding dengan nikmat yang Allah kurniakan. Satu biji mata sahaja bukan nilaian RM50K! Kos rawatan kepada masalah jantung boleh menjangkau satu angka yang sangat besar. Cuba bayangkan oksigen percuma yang kita sedut setiap detik itu, jika dicaj oleh Allah S.W.T: mampukah dibayar?

Sebab itulah doa harus dihiasi dengan adab dan teknik yang betul. Tidaklah wajar bagi seorang hamba begitu "gelojoh" dengan permohonan sehingga menjatuhkan sifat kehambaannya atau mempamirkan sifat tidak tahu bersabar dan bersyukur disisi Tuhan Rabbul Jalil. Meminta dengan cara beradab dengan merendahkan diri dan merasa malu dengan Allah tentulah membuka jalan kepada sifat Rahim Allah untuk mendengar doa kita, InsyaAllah!

Lihat bagaimana contoh adab Nabi Allah Ayub a.s. berdoa setelah diuji Allah dengan ujian penyakit kulit yang sangat berat. Ia berdoa: " Sesungguhnya aku ditimpa kemudaratan, Engkaulah (Ya Allah) Sebaik-baik (Tuhan) Yang Mengasihani"

Begitu juga Nabi Zakaria a.s. berdoa ketika memohon zuriat dalam usia yang telah tua " Tuhanku janganlah Engkau biarkan aku bersendirian, Engkaulah Sebaik-baik Tuhan yang Memberi Pewaris". 



   

Ahad, 6 Mei 2012

Imam Abu Hanifah

Semalam berkesempatan berada di dalam kuliah Maghrib Ustaz Sharmizan. Ketika mengupas kisah Imam Abu Yusuf murid kepada Imam Abu Hanifah melalui huraian Kitab Bustanul Arifin karangan Imam an-Nawawi, beliau turut menyentuh sedikit biografi Imam Abu Hanifah.

Imam Abu Hanifah (Imam mazhab Hanafi)  dilahirkan di Kufah, Iraq pada tahun 80 Hijrah. Beliau adalah golongan tabi'in yang sempat berguru dengan beberapa sahabat Rasulullah S.A.W. antaranya Sayyidina Anas bin Malik, Sahl bin Sa'ad dan Abu Thufail. Nama sebenar beliau ialah Abu Hanifah Nu'man bin Thabit (AH).

Sejak dari kecil beliau seorang yang genius. Mempunyai kefahaman yang sangat luas dan mendalam dalam bidang fiqh, hadis dan tafsir. Beliau merupakan ahli perniagaan yang berjaya - sehingga berupaya mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada masyarakat setempat.

Imam AH seorang yang sangat pemurah dan suka menyumbang. Beliau sentiasa menjaga penampilan diri dengan berpakaian kemas dan rapi setiap masa justru mensyukuri nikmat Ilahi yang dianugerahkan kepadanya. Seorang yang amat sukakan wangi-wangian sehingga orang ramai mampu mengenalinya di mana juga dengan ciri-ciri kemas dan wangian yang sinonim dengan dirinya. Beliau menyebarkan ilmunya dengan penuh amanah dan tekun. Terdapat ramai anak-anak muridnya yang sangat hebat dan menonjol seperti Imam Abu Yusuf dan lain-lain.

Ketegasan Imam AH dalam menolak jawatan Qadhi amat jelas. Beliau ternyata tidak langsung berkompromi dalam urusan yang berkaitan dengan permintaan khalifah untuk melantik dirinya sebagai Qadhi. Beliau sangggup disiksa dan dipenjara kerana ketegasan prinsipnya.  

Imam AH merupakan seorang yang amat kuat beribadat. Sepanjang tahanan dipenjara beliau diberitakan telah mengkhatamkan al-Quran sebanyak 70 ribu kali di dalam solatnya!!

Ada ulama yang bermimpi bertemu dengan Imam AH selepas kematiannya yang disediakan Ilahi dengan istana dan singgahsana yang sangat indah dan hebat disyurga. Apabila ditanya adalah beliau masuk kesyurga kerana ilmunya. Beliau lantas menjawab,"tidak sama sekali, tetapi yang menjadikan aku mendapat anugerah ini ialah berkat kesabaranku dan reda Ilahi ke atas segala penghinaan, fitnah dan kezaliman yang dilakukan keatas diriku".
                                                                         ***************

Sumber tambahan yang sempat dirujuk melalui buku berjudul KHILAF - perselisihan pandangan dalam agama (Abdul Mu'izz:2012:mustread) mengisahkan detik-detik kematiannya...

Imam AH wafat pada tahun 150 Hijrah. Satu hari Imam dilantik sebagai Qadhi oleh pemerintah Abu Ja'afar al-Mansur. Beliau menolak di atas dasar takut terlibat sama dengan kezaliman yang tidak diredainya.Walaupun disebat 10 kali sebatan setiap hari, pendiriannya tidak goyah.

Akhirnya beliau membuat satu helah yang membuatkan Abu Jaafar tidak mampu memaksanya lagi. Apabila ditanya mengapa menolak jawatan tersebut, Imam AH menjawab: "Aku tidak layak untuk menjadi qadhi". Lantas Abu Jaaafar membalas, " Engkau berbohong!". Lalu Imam AH menjawab, " Engkau sendiri telah mendakwa aku berbohong. Bagaimana engkau ingin melantik seorang pembohong yang sememangnya tidk layak untuk dijadikan qadhi?"

Khalifah terkedu dan mati akal lantas meracuni Imam AH melalui minumannya. Syahidnya Imam AH di dalam keadaan sujud. Dari kisah ini, kita dapati bahawa Imam AH sangat peka serta bijak membaca strategi politik yang ingin mempergunakan pengaruhnya demi kelangsungan kuasa kezalimaan pemerintahan ketika itu.




Fatamorgana - Khutbah 04 Mei 2012

Fatamorgana ialah 'keyakinan' yang sia-sia. Kelihatan 'ada' hakikatnya 'tiada'. Maksudnya sangkaan atau keyakinan bahawa kita telah dianugerahkan pahala dan ganjaran di atas amalan dan aktiviti kita di dunia tetapi sebenarnya semuanya sia-sia belaka. Kita seperti melihat 'hasil' dari apa yang dilakukan namun ianya kosong berhamburan seperti debu yang beterbangan.

Rujuk al-Quran - 24:39

Kata khatib (Dr Abd Malek) ianya bukan 'silap mata' tetapi 'mata tersilap'. Silap mata adalah permainan pantas dari objek yang disembunyikan yang kelihatan tiada kemudian melalui proses trick, ianya diadakan lalu kita melihat ianya ada. Ringkasnya 'ada - tiada - ada'. Cuma mata kita saja yang terpedaya.

Fatamorgana pula sebenarnya tiada tetapi kelihatan ada. Prosesnya 'tiada - ada - tiada'. Kita tertipu dan terpedaya sepenuhnya.